Visi

Visi -Menjadikan SMKKJ Cemerlang Dengan jati Diri Menjelang 2010

Thursday, December 31, 2009

Salam Tahun Baru 2010

Ketibaan tahun baru 2010 tinggal beberapa jam saja lagi. kemudian kita akan melangkah ke tahun baru lagi. Antara sedar mahupun tidak usia semakin meningkat dan semestinya semakin mematangkan kita.

Hari ini warga pendidik KJ memulakan dengan sesi baru dengan perjumpaan kali pertama.
Melangkah masuk ke KJ menjelang tahun 2010 secara fizikal terdapat beberapa perubahan dan pembaharuan dari segi prasarana sekolah , seperti dewan besar , kantin dan beberapa blok yang telah dinaik taraf untuk keselesaan warga sekolah khususnya para pelajar.

KJ juga telah menerima cikgu-cikgu yang baru masuk seramai 6 orang. Nama cikgu-cikgu baru ni tak sempat di catat tadi semasa diperkenalkan oleh tuan pengetua. Apapun nanti akan masukkan di sini setelah mendapat senarai penuh. Selamat bertugas di KJ diucapkan kepada mereka. Diharapkan akan dapat terus menyumbangkan bakti di sini pula.

Selain itu kepada cikgu-cikgu yang telah berpindah keluar , KJ mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan yang telah dicurahkan selama ini di KJ. Bakti tuan disini sentiasa dalam kenangan. Cikgu Khairil berpindah ke SMK Bakar Arang , Waznati jauh nun di negeri bawah bayu. Walaupun jauh di sana harap janganlah pula di hati jauh juga walaupun terpisah dengan Laut Cina Selatan . Bagi Khairil janganlah berpatah arang walau berada di Bakar Arang.

Kj juga menerima pengusaha kantin serta pengusaha makanan asrama yang baru. Jadi hari ini ada jamuan untuk warga pendidik oleh tokey kantin baru KJ terima kasih banyak kerana belanja cikgu-cikgu makan. Kepada En Mat Jiwa sekalung penghargaan juga diucapkan kepada anda yang telah sama-sama menyumbang bakti di KJ sekian lama. Sudah tentu selepas ini warga KJ akan merindui masakan Mat Jiwa.

Tuan pengetua telah menyampaikan amanatnya sulung 2010 hari ini dan beberapa pesanan serta pengharapan beliau dalam bidang akademik, ko akademik, ko kurikulum, sukan, permainan , disiplin dan lain-lain. Semoga 2010 akan membawa kejayaan yang cemerlang buat KJ. tahniah juga kepada unit peperiksaan yang mendapat pujian daripada tuan pengetua. Moga tahun ini akan lebih cemerlang

Selamat Tahun Baru.

Saturday, December 26, 2009

Beri Ruang Pendidikan Jayakan Perpaduan

Petikan Dari Utusan Malaysia

MINGGUAN: Apakah cabaran utama yang masih membelenggu sistem pendidikan negara?
ANUAR: Dunia akan memasuki dekad pertama abad Ke-21. Tidak syak lagi dekad akan datang memerlukan penyelesaian kalaupun tidak sepenuhnya, beberapa perkara yang masih membelenggu sistem pendidikan negara. Pada saya tiga perkara utama yang mesti diselesaikan segera.
Pertama, penekanan yang keterlaluan kepada peperiksaan yang hanya berfungsi menapis pelajar akan membina jurang yang sangat besar. Sedangkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan tidak sepenuhnya menggambarkan kualiti sebenar potensi seseorang pelajar.
Sejak sekian lama, budaya terlalu taksub dan percaya bahawa pencapaian akademik melalui peperiksaan adalah matlamat akhir pendidikan, telah membelenggu sistem pendidikan negara. Sehingga kita gagal menggilap kebijaksanaan sebenar anak-anak kita sejak di sekolah rendah.
Kementerian Pelajaran perlu mendidik ibu bapa supaya menghargai seluruh potensi anak-anak mereka, bukan sekadar meraikan berapa banyak gred A yang diperoleh. Belenggu kedua yang harus diselesaikan tentunya sekolah vernakular atau sekolah pelbagai aliran.
Di negara ini seperti sudah mustahil sekolah satu aliran boleh diwujudkan, malah tiada siapa pun berani menukarkan warisan pendidikan penjajah walaupun selepas 52 tahun negara merdeka. Dari satu segi mungkin ada baiknya sistem pendidikan vernakular kekal kerana situasi politik negara ini memerlukan isu-isu sedemikian untuk 'menutup mulut' terhadap tuntutan kaum tertentu.
Misalnya apabila kalangan pemimpin bukan Melayu menuntut liberalisasi hak-hak keistimewaan Melayu, pemimpin politik Melayu pula akan menuntut diwujudkan sekolah satu aliran, yang akhirnya mententeramkan seketika tuntutan bukan Melayu.
Tetapi untuk jangka panjang sekolah satu aliran pasti penting diwujudkan. Tinggal lagi berapa lama masyarakat kita bersedia menerima sekolah satu aliran. Harus diingat sekolah wawasan gagal bukan kerana kurangnya kelengkapan dan prasarana, tetapi kerana ketidaksediaan masyarakat bukan Melayu menerima konsep sekolah tersebut.
Kalaupun sekolah satu aliran ingin diwujudkan misalnya tiga tahun dari sekarang, apakah perlaksanaannya akan berjaya, atau sekali lagi 'terkorban' seperti sekolah wawasan. Mekanisme kepada sekolah satu aliran perlu dirancang. Kewujudan sekolah satu aliran semata-mata tidak menjanjikan kejayaan mencapai perpaduan.
Tetapi mengapa di Sabah dan Sarawak walaupun sistem pendidikan vernakular masih berjalan, perpaduan masyarakatnya lebih baik dan harmoni? Pentingnya dirancang secara terperinci jika ingin benar-benar sekolah satu aliran diharap membina perpaduan kaum.
Belenggu ketiga ialah merapatkan jurang pendidikan bandar, luar bandar dan pedalaman. Saya melihat isu ini sangat penting. Kemudahan pendidikan, latihan guru, motivasi guru serta kepakaran sejak sekian lama tidak banyak berubah di kawasan luar bandar dan pendalaman.
Kalau kita bercakap soal globalisasi, tetapi jurang pendidikan tidak dapat diselesaikan dan pemikiran guru tidak ditransformasikan, tidak banyak kejayaan yang boleh diharapkan.
Pengupayaan pendidikan bahasa Inggeris yang rendah serta aktiviti teknologi maklumat yang kurang diamalkan di sekolah luar bandar dan pedalaman akan terus melebarkan lagi masalah ketidakseimbangan masyarakat untuk sepuluh atau dua puluh tahun akan datang.
Harus diingat bahawa majoriti anak-anak Melayu tinggal di kampung dan pedalaman, manakala sekolah bandar majoriti anak-anak masyarakat Cina. Maka pada akhirnya jika sekolah luar bandar dan pedalaman tidak dibantu, jurang pencapaian pendidikan serta potensi pelajar akan makin membesar, seterusnya membentuk masyarakat yang tidak seimbang dari segi ekonomi dan sosial.
Adakah mekanisme pendidikan negara ketika ini mampu melahirkan generasi dengan modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan?
ANUAR:Tidak banyak kajian dalam negara yang boleh digunakan untuk melihat apakah ilmu yang disampaikan di peringkat sekolah menengah benar-benar mampu membina modal insan kelas pertama seperti yang diharapkan.
Rujukan yang ada sekadar pernyataan bahawa pendidikan penting untuk membina minda dan modal insan kelas pertama. Saya fikir semua orang tahu tentang hal itu. Soalnya bagaimanakah sistem pendidikan negara kita telah menjayakannya, mana kajian empirikal yang boleh membuktikan. Setahu saya tidak ada.
Kita mungkin diuar-uarkan dengan segelintir pelajar yang cemerlang setiap kali peperiksaan awam diumumkan. Bagaimana pula dengan kumpulan pelajar yang gagal? Ke mana mereka pergi selepas persekolahan? Apakah kerajaan juga bersedia menguruskan mereka yang gagal dalam SPM atau STPM sebagaimana kerajaan membuat pelaburan ribuan juta ringgit membina universiti untuk pelajar yang berjaya dan cemerlang.
Satu perkara yang jelas sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi di negara ini tidak dibina dalam satu pakej. Pada setiap peringkat akan ada ramai yang digugurkan. Maka itu sistem penilaian pembangunan pelajar perlu dikemaskinikan sejak dari mula.
Seharusnya kita mempunyai laporan profil pembangunan pelajar sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan lima untuk setiap guru meneliti, membimbing dan menunjukkan jalan bagaimana seseorang pelajar dapat meningkatkan potensi diri pada setiap tahap pembelajaran.
Seorang yang lemah akademik di sekolah rendah bukan bermakna beliau akan terus gagal di dalam pendidikan sekolah menengah atau di universiti. Saya fikir PIPP 2006-2010 merupakan satu dokumen yang sangat ideal. Mana mungkin dalam masa beberapa tahun dilaksanakan , semua teras utama boleh dijayakan.
Pendidikan harus membina modal insan berkualiti bukannya pekerja industri semata-mata. Seperkara lagi pengajaran dan pembelajaran keagamaan dan moral harus lebih tegas dan terkamil dalam sistem pendidikan negara. Malangnya walaupun kita mempunyai dasar serta kurikulum pendidikan agama Islam dan moral, dari segi pengamalannya masih tidak banyak membantu hasrat membangunkan modal insan yang bermoral tinggi.
Umum mengetahui sistem pendidikan kita gagal menjadi agen perpaduan. Apa sebenarnya yang menjadi penghalang?
ANUAR: Banyak yang menghalang, tetapi dua yang paling utama. Pertama politik berteraskan perkauman dan keduanya amalan ilmu perpaduan masih kurang di kalangan rakyat massa. Berbeza dengan semangat pendidikan era 1950an dan 1960an, pendidikan sekarang sangat terkongkong dengan sentimen berasaskan kaum. Hinggakan ramai ibu bapa Cina dan India tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan walaupun hampir dengan kediaman kerana bimbang anak mereka 'dimelayukan' atau diislamkan' di sekolah kebangsaan.
Kurangnya maklumat berkaitan perkembangan sekolah kebangsaan dan manipulasi politik oleh kepimpinan politik perkauman mewujudkan prasangka ini. Sedangkan ramai guru-guru berketurunan Cina dan India mengajar di sekolah kebangsaan, malah bahasa mandarin dan Tamil juga diajarkan di sekolah kebangsaan.
Selagi ada ahli politik cuba menangguk di air yang keruh dalam sektor pendidikan yang sepatutnya murni, selagi itu pendidikan di negara ini tidak mampu untuk menjadi teras kepada perpaduan bangsa. Rancanglah apa juga program dan dasar perpaduan, pasti kita tidak akan dapat menjayakannya.
Ahli politik perlu memberikan peluang untuk pendidikan menjayakan perpaduan sewajarnya dan menggilap potensi anak-anak agar Malaysia pada masa depan lebih berdaya saing dan cemerlang.
Keduanya, kurang ilmu perpaduan. Perpaduan adalah ramuan kecemerlangan negara majmuk seperti Malaysia. Konflik kaum akan merosakkan segalanya. Pendidikan hubungan kaum bukan bergantung kepada slogan, lagu atau semangat sukan semata-mata, tetapi tergantung kepada ilmu.
Saya sentiasa ingat kawan saya berketurunan Cina yang akan berhenti berbual bila mendengar azan dilaungkan. Beliau juga akan bertanya sama ada saya ingin berhenti berbincang untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Saya juga rasa diterima dan sering menerima ucapan tahniah daripada rakan berketurunan Cina kerana menguasai serba sedikit bahasa Mandarin. Kami juga sentiasa pastikan menu yang dipesan tidak mengandungi daging lembu bila keluar makan bersama rakan beragama Hindu. Ini adalah contoh ilmu untuk perpaduan. Bukan sekadar tahu tetapi mengamalkannya.
Sistem pendidikan negara dilihat masih tidak dapat dipisahkan dengan survival politik parti-parti tertentu. Apakah sebenarnya kerugian yang terpaksa ditanggung oleh generasi muda dalam soal ini?
ANUAR: Pendidikan sudah menjadi modal politik di negara ini. Malah agama juga turut menjadi mangsa sebagai modal politik. Perlembagaan turut tidak terkecuali. Pendek kata apa sahaja yang penting kepada masyarakat semua sudah menjadi modal politik. Akibatnya kita tidak dapat berkembang dengan cepat dan konsisten.
Apa sahaja walaupun bermatlamat baik akan menjadi isu dalam politik. Pembinaan sekolah yang besar dan selesa akan dianggap pembaziran oleh parti lawan, cadangan membina sekolah satu aliran untuk perpaduan dianggap membunuh identiti kaum lain, mata pelajaran sejarah dianggap sebagai doktrinisasi pihak parti pemerintah, kuota dan biasiswa IPT dipersoalkan.
Bila pula masanya untuk kita menangani isu cabaran globalisasi dan persaingan antarabangsa jika setiap perancangan pendidikan dipolemikkan bagi tujuan politik sempit perkauman.
Kerugian paling besar ialah untuk pembinaan negara bangsa. Kita akan kekal selamanya dalam kepompong kecil politik dalaman sehingga gagal menaakul cabaran di peringkat antarabangsa. Semua parti politik harus insaf untuk membina pendidikan dan bukan mempolitikkan pendidikan untuk kepentingan parti

Wednesday, December 23, 2009

Keputusan Peperiksaan PMR 2009
















Bagi pelajar yang telah menduduki peperiksaan PMR 2009 bolehlah mendapatkan keputusan masing-masing yang dikeluarkan hari ini di sekolah.

Tahniah kepada yang berjaya. Yang kurang bernasib baik.. jangan berputus asa, usaha lagi pada masa akan datang.

Jumpa di sana !

Tuesday, December 22, 2009

Permohonan ke IPTA Secara Talian Sepenuhnya Sesi 2010/2011

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan melalui aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.
Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 November lepas dan tarikh tutup adalah pada 31 Disember ini.
Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai pukul 12 tengah hari sehingga 30 Mac 2010.
Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.
Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.
Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti kokurikulum yang disertai.
Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.
"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.
"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my. - BERNAMA